Assalamualaikum
W.B.T.
Actually
this article/information I found from Puan Suraya blog, from her post here.
Wish to share with mom-to-be out there.
Source:
Majalah Pa&Ma Mac 2012
Teknik Bernafas Waktu Pelahiran
Apabila anda berada dalam keadaan tertekan, pernafasan akan terganggu. Lalu,
menjejaskan kelancaran proses pelahiran. INTAN JASTINA JAMALUDDIN mendapatkan
ulasan lanjut daripada Dr. Siti Esah Bahari, doktor pakar perbidanan dan sakit
puan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam.
Pernafasan yang bagus memainkan peranan penting sewaktu anda berada dalam fasa
pelahiran. Selain membantu kelangsungan proses bersalin, pernafasan yang lancar
dapat mengelakkan otot daripada mengalami ketegangan atau kekejangan. Jika
tidak, ia akan menggugat proses meneran apabila ketika tiba saat itu, anda
sudahpun keletihan.
Lebih daripada itu, pernafasan yang lancar akan membuatkan anda memberi tumpuan
kepada pernafasan dan bukannya terhadap kesakitan yang semakin kerap dialami.
Antara lain, anda dapat memaksimumkan bekalan oksigen di mana ia baik untuk
diri anda sendiri, bayi dan otot-otot yang berkait langsung dengan proses
kelahiran.
Ketahuilah bahawa apabila anda tidak bernafas dengan baik, ia akan mencetuskan
suatu keadaan yang dikenali sebagai pernafasan panik. Apabila bernafas terlalu
pantas, ia akan menyebabkan hyperventilation. Hal ini berlaku kerana terlalu
banyak karbon dioksida dikeluarkan yang akhirnya menjadi punca anda mengalami
pening dan kebas di mulut serta jari-jemari. Langkah terbaik bagi mengatasi
masalah ini ialah dengan menekup mulut menggunakan beg plastik atau tangan
sendiri, seterusnya menghidu karbon dioksida perlahan-lahan.
Dr. Siti Esah menegaskan bahawa amat penting untuk setiap wanita hamil
mengikuti kelas antenatal terutamanya yang melalui kehamilan pertama. Dalam
memilih kelas antenatal, anda digalakkan untuk memastikan kelas yang ditawarkan
menyentuh aspek pernafasan. Pada masa yang sama, adalah lebih baik jika anda
menghadiri kelas tersebut bersama suami agar dia dapat mengajar teknik
pernafasan yang betul ketika anda sedang menghadapi kontraksi kelak selain
daripada sokongan moral.
Kurang oksigen
Kekurangan oksigen sepanjang proses bersalin berlangsung boleh mendatangkan
mudarat bukan sahaja kepada diri anda malah kepada bayi juga. Banyak komplikasi
yang bakal dihadapi kesan daripada tindakan tidak bernafas dengan cara yang
betul.
Kesan negatif pada ibu termasuklah otot rahim tidak berfungsi dengan baik.
Malah, ia turut mengakibatkan penghasilan oksitosin berkurangan. Untuk
makluman, oksitosin sangat penting untuk kontraksi rahim. Jadi, jika anda tidak
bernafas dengan lancar, ia boleh merencatkan proses kelahiran. Di pihak bayi
pula, disebabkan oleh kurang oksigen, denyutan jantung bayi akan terjejas. Ini
dapat dilihat melalui bacaan kardiotograf (CTG) yang tidak normal.
Teknik bernafas
Anda boleh mula mengaplikasikan teknik pernafasan apabila mula merasai
kontraksi yang tidak selesa. Biarpun, anda mempelajari pelbagai jenis
pernafasan ketika di kelas antenatal, pilih satu yang bersesuaian dengan
keadaan diri ketika di dalam bilik bersalin.
1. Peringkat awal (early labour)
Bernafas secara perlahan-lahan dengan menarik nafas melalui hidung tiga kali.
Kemudian hembus nafas melalui mulut tiga hingga empat kali. Dalam pada itu,
hembuslah lebih lama berbanding tarik nafas.
2. Peringkat aktif (active labour)
Ketika sakit bertambah kuat, hela nafas terlebih dahulu. Disusuli dengan
tindakan menarik dan menghembus nafas. Apabila sakit semakin ketara bernafaslah
secara cepat dan tidak dalam. Pada kemuncak kontraksi, pernafasan secara
tercungap-cungap melalui mulut (panting) boleh membantu. Setelah kontraksi
beransur hilang, bernafaslah seperti biasa secara perlahan-lahan.
3. Peringkat transisi (Masa bersalin hampir tiba tetapi pangkal rahim belum
buka sepenuhnya)
Anda tidak digalakkan meneran kerana ini boleh memudaratkan.Lakukan pernafasan
panting namun jangan teran pada punggung. Sebaik-baiknya panting-panting –
hembus.
+++ INFO TAMBAHAN +++
Pernafasan Lamaze
Masyarakat Barat sangat menggemari kaedah pernafasan Lamaze. Dengan
mengaplikasikannya, keadaan anda akan lebih terkawal. Apabila tumpuan dihalakan
kepada pernafasan, maka kesakitan dapat diabaikan. Caranya ialah dengan
bernafas sambil menyebut perkataan hee-hee-hoo.
Namun, adalah dinasihatkan agar kerap melakukan latihan sebelum tiba masa untuk
bersalin kerana dikhuatiri bila tiba masanya anda tidak dapat melakukannya
dengan baik kerana kurang berlatih. Tambahan pula ketika sakit anda tidak dapat
menumpukan perhatian kepada teknik pernafasan yang betul. Oleh kerana itulah,
amat penting untuk suami turut serta dalam kelas antenatal agar dia dapat
memberi panduan ketika anda mengalami kontraksi.
Teknik betul meneran
Bayangkan keadaan seperti hendak membuang air besar. Pastikan dagu dirapatkan
ke dada dan anda berkeadaan sama seperti udang membengkok. Ketika ini belakang
badan perlu menyentuh katil. Fokus ke arah perut dan anda meneran dari abdomen
ke bawah seperti diarahkan oleh doktor dan jururawat. Bila berlaku kontraksi,
tarik nafas lalu meneran selama yang boleh. Dalam satu kontraksi, anda
digalakkan mengambil nafas sebanyak dua hingga tiga kali. Meneran haruslah dari
bahagian abdomen ke punggung dan bukannya di muka. Jangan sesekali mengangkat
punggung kerana ia boleh menyebabkan koyak yang besar. Apabila bayi di tahap
akhir pelahiran iaitu sebahagian kepala bayi mula kelihatan jangan meneran
terlalu kuat. Teran perlahan lahan untuk mengelakkan koyak teruk.
0 comments:
Post a Comment