09 June 2012

Kenali Tema Hantaran







Jenis dulang mengikut trend dan bajet
Hantaran yang menggunakan  dulang besi untuk hantaran semakin mendapat tempat disebabkan oleh bentuknya yang unik dan harganya yang berpatutan. terdapat pelbagai bentuk yang direka mengikut permintaan dan trend semasa seperti bakul yang berkaki, bentuk buah labu seakan kereta cinderalla, kelopak bunga, basikal dan dulang bertingkat. Harga yang dikenakan untuk gubahan menggunakan dulang besi adalah dalam lingkungan harga RM150 dan ke bawah.

Jika anda mencari sesuatu yang tampak mewah, ringkas, dan ekslusif; penggunaan dulang bersadur perak atau emas amat sesuai dan kebanyakan penggubah hantaran ada menawarkan dulang-dulang ini untuk disewa. Harga pakej gubahan hantaran yang ditawarkan selalunya agak tinggi iaitu RM150 dan ke atas. Namun, penggunaan bunga atau hiasa yang minimum sudah mampu menyerlahkan sesuat gubahan di atas dulang bersadur perak tanpa perlu aksesori tambahan yang sarat.

Hantaran bunga segar
Hantaran bunga segar semakin menjadi pilihan pengantin terutamanya kepada yang inginkan sesuatu yang segar dan ekslusif. Harganya pula bergantung kepada jenis bunga yang digunakan iaitu sekitar RM80 dan ke atas.

Namun sekiranya gubahan menggunakan bunga-bunga import seperti orkid cymbidium, rose, hydrangea dan peanies, harga satu gubahan hantaran boleh mencecah RM300 dan ke atas. Adalah dinasihatkan kepada yang memilih bunga segar supaya memilih jenis bunga  yang bersesuaian dengan lokasi, tema dan bajet anda.  Sekiranya majlis yang memerlukan perjalanan yang jauh, bunga orkid lebih sesuai digunakan kerana ia mampu kekal segar lebih lama berbanding bunga-bunga lain.

Gubahan hantaran bunga tiruan
Selain bunga segar, masih ramai dalam kalangan pengantin kini inginkan sesuatu yang boleh disimpan sebagai kenangan. Gubahan hantaran  menggunakan bunga tiruan sama ada bunga plastik ataupun bunga kraf buatan tangan  mampu tampak ekslusif dan istimewa terutamanya kepada yang menghargai seni-seni kraftangan bunga. Hantaran menggunakan bunga kraf seperti bunga dip, stokin, organza, dawai gim, kristal, ,utiara, dan lain-lain mampu memberi kelainan tersendiri dan harganya pula bergantung kepada seni kerja tangan yang diperlukan.

Pilihan yang ada
Beli bunga siap
Kepada yang tidak ingin berbelanja lebih, bolehlah menempah bunga-bunga yang siap digubah menjadi bunga dulang dan menyusun sendiri di atas dulang hantaran. Kos bunga dulang adalah sekitar RM50 dan ke atas, agak murah berbanding tempahan dulang yang sudah siap digubah. Sekiranya bunga-bunga ini disimpan dan dijaga rapi, berkemungkinan is boleh diguna semula untuk lain-lain tujuan seperti dijadikan sebagai pemberian istimewa kepada ahli keluarga terdekat ataupun sebagai dekorasi tambahan di dalam rumah.

Sewa dari butik
Ada dikalangan pengusaha butik turut menyediakan khidmat sewaan dulang hantaran lengkap dengan harga yang amat berpatutan. Namun anda dinasihati melihat terlebih dahulu contoh gubahan yang ditawarkan untuk mengelakkan anda mendapat gubahan yang sudah rosak atau lusuh.

Gubah sendiri
Kepada yang berkebolehan menggubah, gunakanlah bakat terpendam anda dengan menghasilkan sendiri gubahan hantaran. Pilih jenis gubahan yang ingin dibuat, pastikan bahan-bahan yang diperlukan dan beli barang-barang yang disenaraikan  sahaja mengikut kuantiti yang betul. Buat kiraan kos termasuk kos pengangkutan dan penghantaran. Terdapat banyak contoh-contoh gubahan hantaran dalam majalah dan internet yang boleh dijadikan rujukan. Mulakan menggubah hantaran seawal yang boleh dan mohonlah bantuan keluarga dan rakan-rakan untuk memberikan pandangan mereka. Yang pasti hati akan terasa bangga dan berbunga-bunga apabila melihat hasil kerja tangan sendiri tersusun rapi di majlis persandingan untuk si dia teristimewa.


Source: Inspirasi Perkahwinan July 2012, m/s 186-187

0 comments:

Post a Comment

Powered by Blogger.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

© 2011 Little Rafa, AllRightsReserved.

Designed by ScreenWritersArena